Rabu, September 08, 2010

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua guru Pejabat Pendidikan Agama Daerah Mersing.
KEDATANGAN satu Syawal adalah saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam setelah sebulan melalui ujian Allah s.w.t. Melalui segala rintangan agar dapat merasai keperitan hidup insan yang kurang bernasib baik. Dan satu Syawal adalah natijah untuk kita melahirkan kesyukuran di atas segala kesempurnaan melalui ujian Allah itu.Bagi orang yang telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadhan, Syawal adalah detik kembali kepada asal fitrah tanpa sebarang dosa dan noda. Oleh sebab itulah apabila fajar Syawal menjelang setiap muslim disunatkan menyiapkan diri pada awal pagi untuk merayakan Aidilfitri dengan gembira tetapi tidaklah berlebihan.Hari raya disambut dengan membesarkan Allah s.w.t dengan cara mengucap takbir dan tahmid dari malam hari raya hinggalah di pagi Syawal esok harinya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.
BAGAIMANAPUN keadaan sebaliknya berlaku pada hari ini. Ada sebahagian umat Islam yang keterlaluan ketika merayakan hari raya yang mulia ini. Bukan sahaja pembaziran malah ada yang merayakan hari kebesaran Islam ini dengan mengunjungi tempat-tempat yang dilarang oleh syarak.Oleh kerana itu adalah sangat digalakkan kita mengucapkan takbir dan tahmid di pagi raya dengan menjiwainya dalam erti kata sebenar setiap kalimah mulia itu supaya jiwa berada dalam keadaan tenang. Tidak bererti sama sekali jika kita mengalunkan kalimah-kalimah itu dengan suara merdu sedangkan pengertiannya tidak dapat dihayati.Pengertian takbir yang dijiwai sepenuhnya menyedarkan kita hamba Allah yang lemah di dunia yang fana ini tidak mempunyai apa-apa yang boleh dibanggakan. Kekayaan, kekuasaan, kegagahan, kecantikan dan ketampanan yang dimiliki hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t yang Maha kaya dan Maha berkuasa daripada segala makhluk yang ada. Semua yang diperolehi itu hanyalah dengan izin Allah s.w.t jua.Apabila Allah menghendaki dan memerlukan kembali pemberian itu dari kita maka dengan sekelip mata sahaja ia akan hilang dan musnah.Oleh itu kita sebagai umat Islam harus insaf di hari raya supaya tidak terlanjur dan keterlaluan dalam kehidupan. Begitu juga dalam mempergunakan apa yang dimiliki, kita harus sedar apa yang dimiliki adalah semata-mata daripada Allah s.w.t.
DI samping memakai pakaian cantik dan kemas serta bau-bauan, elok kita melapangkan dada memberi maaf kepada mereka yang datang memohon maaf.Begitu juga sebaliknya kita hendaklah memohon kemaafan dari insan lain apabila berlaku salah silap dengan ikhlas hati dan hukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.Namun harus diingat bahawa bermaaf-maafan menurut Islam tidaklah hanya setahun sekali iaitu di hari raya sahaja. Islam mengajar umat manusia agar menjadi insan yang suka bermaaf-maafan.Jadi sikap bermaaf-maafan itu tidak hanya ditentukan oleh ruang waktu. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan orang-orang yang kembali kepada kebenaran dan mendapat petunjuk dari Allah s.w.t, mendapat syafaat dari Rasulullah s.a.w serta memperoleh kemenangan di atas kekuatan iman dan ketaqwaan yang dimiliki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan