Rabu, September 02, 2009

Sasaran RM10,000 bantu fakir di Mersing

Berita Harian
2 September 2009
Program Satu RM1 bantu rakyat miskin

MERSING: Pelbagai cara dilaksanakan dalam usaha memberi peluang kepada umat Islam di daerah ini memberikan sumbangan serta mengamalkan sedekah dalam Ramadan yang mulia ini.

Pejabat Pendidikan Agama daerah melancarkan Program Satu RM1 sempena Ihya Ramadan mensasarkan kutipan RM10,000 ke atas semua pelajar sekolah agama kerajaan negeri, guru dan kakitangan Pejabat Pejabat berkenaan.
Pegawai Pendidikan Agama daerah, Hidris Shaari, berkata seramai 900 pelajar sekolah agama seluruh daerah termasuk guru dikehendaki menyumbangkan derma ikhlas RM1 setiap seorang sempena menyambut Ramadan ini.

Beliau berkata, sumbangan yang diperolehi itu akan disampaikan kepada fakir miskin, anak-anak yatim dan golongan yang kurang bernasib baik di daerah ini menjelang Aidilfitri nanti.

"Ini adalah tahun kedua tabung seperti itu dilancarkan dalam usaha membantu golongan kurang berada di daerah ini menjelang Aidilfitri," katanya selepas majlis pelancaran tabung berkenaan yang disempurnakan Penolong Pegawai Daerah, Khalid Jusoh bagi mewakili Pegawai Daerah, Datuk Abdul Razak Hassan di Sekolah Agama Bukit Timbalan, di sini baru-baru ini.

Abdul Razak berkata, dengan pelancaran tabung itu, ia bukan saja dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik di daerah ini malah merapat hubungan silaturrahim di kalangan murid, guru dengan mereka yang kurang bernasib baik di sini.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik langkah Pejabat Pendidikan Agama daerah yang berusaha memperbanyakkan amalan sedekah di bulan yang mulia untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik termasuk golongan miskin dan orang kurang upaya.

"Usaha yang dilaksanakan Pejabat Pendidikan Agama ini baik dalam usaha membantu golongan yang kurang berada ketika menyambut Ramadan dan Aidilfitri," katanya.

Pada majlis itu, seramai 20 pelajar Sekolah Agama Bukit Timbalan menyampaikan sumbangan termasuk guru besar, guru-guru penolong kanan sekolah agama dari seluruh daerah menyampaikan sumbangan pada tabung yang disediakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan